BLOG PILIHAN

Tuesday, November 11, 2014

SELAMAT BERSARA MANTAN TUAN GURU BESAR TUAN HAJI TAWIL BIN SAJI

GUA MUSANG – Terasa keunikan apabila Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya, Tawil Saji dibawa menaiki beca ke pintu pagar sekolah berkenaan sebagai simbolik kepada persaraannya, kelmarin.
Majlis persaraan beliau disambut dengan penuh kemeriahan oleh seluruh warga SK Lepan Jaya walaupun diselubungi suasana pilu mengenangkan jasa Tawil yang banyak membantu kejayaan sekolah tersebut.

Tawil memulakan karier perguruan pada 1979 di Sekolah Menengah Rendah Chaah, Segamat, Johor sebelum ditukar ke 10 sekolah lain dan mengakhiri kariernya sebagai Guru Besar SK Lepan Jaya.

Beliau mengakui banyak melalui pahit maung sebagai guru tetapi tidak pernah menganggap semua itu sebagai beban sebaliknya bersyukur kerana dapat mendidik anak bangsa di negara sendiri.

"Ditukar ke banyak sekolah merupakan satu kebanggaan buat saya kerana menerima lebih banyak pengetahuan. Saya memilih bersara di Gua Musang kerana memiliki rumah sendiri di sini.

"Memang terasa kesedihan untuk tinggalkan sekolah ini. Tetapi perhubungan saya dengan warga sekolah tetap berterusan dan mungkin andai ada peluang, saya akan jenguk guru dan murid di sekolah ini," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak dan mohon maaf andai ada kekurangan, kesilapan atau tindakan yang kurang disenangi.

"Sambutan meriah sempena persaraan saya ini juga membuktikan warga sekolah ini menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan selama ini," katanya.

Tawil berkahwin dengan Azizah Latif semasa bertugas di Kemaman, Terengganu dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Mohd Sulaiman, Mohamad Elyas serta Nur Amalinia.                Sumber Sinar Harian 11 Nov 2014